Politik Lebih Kukuh Jika PBS Masuk BN
 
 
KOTA KINABALU, 9 Dis (Bernama) -- Keputusan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai semula Barisan Nasional tidak akan memberi ruang kepada parti pembangkang lain untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat, kata Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Musa Aman.

Katanya walaupun PAS, Keadilan dan DAP akan cuba untuk mengambil alih tempat PBS sebagai parti pembangkang di Sabah, itu tidak akan mendatangkan kesan kerana rakyat Sabah telahpun membuktikan bahawa mereka menolak kehadiran parti-parti dari Semenanjung itu.

 

"Seperti di Sarawak, kita di Sabah juga sejak awal-awal lagi telah menolak mereka kerana kita tahu mereka hanya akan memecah-belahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Suria Capital Bhd pada Jumaat malam.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, Umno negeri telah menyatakan sokongan terhadap hasrat PBS untuk kembali menyertai BN kerana sedar bahawa keputusan itu akan akan membawa kebaikan terhadap perpaduan.

"Keadaan sekarang memerlukan kita untuk mengurangkan politiking dan menumpukan perhatian kepada usaha untuk membangunkan negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat.

Itu sebabnya Umno Sabah menyokong kemasukan PBS ke dalam BN," katanya.

Ketika ditanya sama ada penyertaan semula PBS ke dalam BN akan menimbulkan masalah dalam soal pengagihan kerusi apabila tiba pilihan raya negeri yang akan datang, Musa berkata, perkara seperti itu pasti akan dapat ditangani dengan baik oleh pucuk pimpinan BN.

"Saya yakin pengagihan kerusi akan dilakukan seadil-adilnya.

Tetapi ini terpulang kepada BN dan saya percaya dengan hubungan baik, kita akan dapat menyelesaikan masalah yang ada," katanya.

Permohonan rasmi PBS menyertai BN dikemukakan oleh Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BN bulan lepas dan dijangka diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN yang akan bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri.

-- BERNAMA